Ahad, 9 Disember 2012

Jangkitan Kuman Ketika Dalam "Pantang"

gif
Bismillah,

“Postpartum fever “atau demam ketika dalam pantang serta rasa sakit selama berpantang selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman yang berlaku ketika proses kelahiran sama ada kelahiran normal melalui faraj (vaginal delivery) atau secara pembedahan Cesarean. 

Demam dalam ‘tempoh pantang’ ini adakalanya merbahaya jika ia adalah sebahagian dari kesan komplikasi proses melahirkan anak. “Postpartum Fever “ merujuk kepada suhu badan yang melebihi 38.0°C dan sekurang-kurangnya berlaku 2 hari dalam tempoh 10 hari selepas melahirkan bayi. Demam sebegini biasanya berlaku dalam masa 24 jam selepas wanita selepas bersalin pulang berehat di rumah.

Bagi wanita yang tinggal di kawasan pedalaman yang jauh dari klinik kesihatan, demam semasa dalam pantang ini boleh memudaratkan sehingga boleh membawa maut jika terdapat kelewatan mendapatkan rawatan berbanding mereka yang tinggal dibandar besar yang mudah mendapatkan rawatan segera..


Walaupun proses kelahiran bayi adalah proses fisiologi yang normal, namun kecederaan fizikal masih tetap berlaku dan selalunya akan berlaku koyakan di sepanjang saluran kelahiran bayi, sama ada di pangkal rahim (cervix) atau di faraj terutama apabila bayi yang dilahirkan bersais lebih besar dari yang dijangkakan.


Kebanyakan kes-kes jangkitan kuman hanya dapat dikesan selepas seseorang wanita itu berehat di rumah. Dalam satu kajian yang dilakukan di UK, mendapati 94% dari kes jangkitan kuman ini didiagnosa selepas wanita dibenarkan keluar dari hospital.


Jangkitan Kuman Pada Luka

Luka episiotomi juga boleh menimbulkan masalah jika jahitannya terbuka sebelum sembuh. Keadaan ini digelar breakdown dan biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman atau takungan nanah pada luka.Masalah pada luka ini jika tidak dirawat dengan betul boleh menimbulkan masalah jangka panjang seperti terasa sakit ketika mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, setiap wanita perlulah menjaga kebersihan serta menjauhkan masalah jangkitan kuman pada luka di kemaluan.


Bagi kes-kes cesarean pula luka pembedahan boleh dijangkiti kuman dan menyebabkan takungan nanah atau abcess. Rasa sakit berdenyut-denyut pada luka menjadikannya kemerahan. Takungan nanah ini perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Rawatan secara dressing perlu dilakukan setiap hari di samping ubat antibiotik untuk dimakan.


Jangkitan Kuman Pada rahim


Majoriti kes-kes jangkitan kuman disebabkan oleh luka pada saluran sistem peranakan, sama ada di dalam rahim, pangkal rahim (cervix), faraj dan kulit sekitarnya.Jangkitan kuman pada lapisan endometrium dalam rahim (endometritis) selalunya menyebabkan sakit di bahagian abdomen dan bahagian ari-ari yang semakin hari semakin kuat. Walaupun ianya jarang berlaku namun masih boleh berlaku apabila terdapat sisa uri yang tertinggal dalam rahim.


Dalam hal ini, selain demam dan sakit di bahagian abdomen ianya juga mengeluarkan darah nifas yang berketul-ketul, berbau busuk serta tidak kering walaupun telah menghampiri tempoh tamat nifas.


Jangkitan Kuman Pada Pundi Air Kencing


Jangkitan kuman pada pundi air kencing juga sering dialami oleh wanita hamil kerana aliran air kencing menjadi perlahan dan bertakung akibat rahim yang membesar. Ketika proses kelahiran berlaku, pundi air kencing menjadi sasaran menyebabkan ia tertekan, terhimpit dan kadangkala tercedera.


Doktor perlu memasukkan alat catheter untuk mengeluarkan air kencing yang mungkin bertakung oleh sebab proses kelahiran. Ini juga boleh menyebabkan jangkitan kuman. Apabila jangkitan kuman berlaku, kekerapan membuang air kecil tetapi sedikit-sedikit dan terasa sakit atau pedih.


Nasihat saya bagi wanita selepas bersalin agar mendapat rehat secukupnya, memperbanyakkan minum air dan menjaga diet pemakanan.Jika terdapat sebarang tanda ketidakselesaan pada tubuh atau rasa demam haruslah segera berjumpa dengan doktor agar punca demam dapat dikesan segera dan diberikan rawatan yang bersesuaian.


Semoga Bermanfaat


Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
 

Khamis, 1 November 2012

Mencegah Keputihan Kanak-Kanak Perempuan

gif
Bismillah,

Soalan yang sering saya terima seperti ‘Bagaimana merawat keputihan anak perempuan saya yang teruk’ agak menyentuh perasaan,membimbangkan nasib bayi dan anak-anak kecil yang belum tahu apa-apa.Harapan saya semoga soalan ini akan bertukar kepada ‘Bagaimana cara mencegahnya dari berlaku’ berbunyi agak lebih positif dan seandainya Ibubapa lebih peka dalam memahami gejala dan pencetus masalah ini ianya amatlah disukai, memadai dan mengembirakan.

Realitinya,selain menyerang wanita dewasa, keputihan juga dideritai oleh bayi dan anak-anak perempuan yang masih kecil. Keadaan ini selalunya membuatkan para Ibubapa merasa cemas dan khuatir akan kesihatan serta gangguan yang bakal diterima oleh organ-organ reproduksi anak-anak yang masih kecil dan tentunya tidak menyedari keadaan mereka. Adapun keputihan yang dialami oleh bayi dan anak-anak berbeza dari wanita dewasa baik dari segi penyebab, perkembangan penyakit, efek psikologi, pemeriksaan, mahupun pencegahannya.

Masih terdapat ramai para Ibubapa yang masih terkeliru dan tidak mengenali tanda-tanda keputihan pada bayi dan anak kecil mereka. Walhal, jika tidak ditangani dengan tepat dan cepat, hanya dalam masa beberapa minggu sahaja, masalah keputihan ini boleh menimbulkan komplikasi,jangkitan yang meluas ke kelenjar-kelenjar di dalam kemaluan dan organ reproduksi lainya.

Keputihan patologis yang berlaku pada bayi atau anak perempuan lazimnya disebabkan oleh jangkitan bakteria, kulat atau parasit .Terdapat banyak juga kes anak-anak berusia di bawah lima tahun yang gemar memasukkan benda-benda asing ke dalam lubang apa saja, termasuk ke dalam kemaluannya. Apabila benda asing itu tidak segera dibersihkan atau dikeluarkan, akan menimbulkan masalah radang atau jangkitan pada kemaluan.

Perbuatan seperti terlalu banyak menaburkan bedak dikawasan kemaluan bayi dan anak, juga antara beberapa punca yang boleh mencetuskan masalah keputihan disebabkan bedak juga boleh dikategorikan sebagai benda asing yang berada dalam kemaluan anak anda.

Bagaimana untuk menanggani masalah ini ?


Hanya dengan melengkapkan diri dengan sedikit ilmu dalam memahami gejala, penyebab, dan pencetus keputihan pada bayi dan anak sahaja lah dapat membantu Ibubapa untuk bertindak awal sebelum ianya menjadi parah dan berulang-ulang. Jika terlihat anak membuang air kecil secara berlebihan di seluar dalam atau terdapat cairan berlebihan sekitar kemaluan,ianya adalah antara gejala jangkitan keputihan yang perlu diberi perhatian.Langkah terbaik adalah membawa anak ke klinik supaya didiagnosis dan diberi rawatan secara komprehensif termasuk pemberian ubatan antibiotik.

Apakah penyebab ianya berlaku dan gejalanya?


Antara penyebab berlakunya keputihan pada bayi dan anak kecil perempuan adalah disebabkan oleh masih belum sempurnanya bentuk dan fungsi organ kelamin. Permukaan kulit kelamin yang dimiliki oleh anak masih sangat tipis, “bibir” luar kemaluannnya juga belum berkembang, dan lemak mereka masih tipis, sehingga liang kencing serta liang kemaluannya masih belum sepenuhnya terlindung.

Ketidakmatangan organ kelamin bayi dan anak juga boleh dikenalpasti dari sedikitnya jumlah bakteria “baik” (Lactobacillus) pada jaringan kemaluannya sedangkan bakteria ini sangat bcrguna bagi melindungi dari serangan bakteria dan parasit yang boleh mcnyebabkan keputihan.

Selain keadaan organ kelamin yang masih belum sempurna, terdapat juga beberapa penyebab yang mengakibatkan keputihan pada bayi dan anak. Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Bakteria Haemophilus influenza


Bakteria Haemophilus influenza termasuk bakteria patogen. Sebenarnya bakteria ini ialah flora normal yang menduduki saluran pernafasan . Perpindahannya ke dalam kemaluan adalah melalui tangan.

2. Bakteria Shigella

Bakteria Shigella merupakan bakteria patogen yang berada di organ pencernaan. Biasanya, bakteria ini menjadi penyebab terjadinya cirit. Perpindahan bakteria ke dalam kemaluan anak adalah melalui usus. Salah satu penyebab suburnya perkembangan bakteria tersebut dalam kemaluan anak adalah disebabkan kurangnya hormon estrogen.

Keputihan yang dibawa oleh bakteria Shigella biasanya bermula dengan cirit. Berbeza dengan keputihan patologi pada umumnya, keputihan ini tidak menimbulkan rasa gatal dan nyeri pada kemaluan. Cairan yang keluar berwarna putih dengan bau yang busuk disertai sedikit darah.

3. Cacing Kremi (Oxyuris vermicularis)


Disebabkan posisi kemaluan dan dubur pada bayi dan anak berdekatan, Oxyuris vermicularis sangat mudah memasuki ke dalam kemaluan melalui dubur.Jika dijangkiti, biasanya akan terasa gatal di sekitar dubur, khususnya pada waktu malam.Cecair keputihan yang keluar sangat banyak dan berbau busuk.

4.Bakteria Neisseria gonorrhoea dan Chlamydia trachomatis serta parasit Trichomonas vaginalis


Gejala keputihan yang dibawa oleh Bakteria Neisseria gonorrboeae dan Chlamydia trachomatis, serta parasit Trichomonas vaginalis tidak berbeza dari yang dialami oleh wanita dewasa.

5. Kulat Candida albican

Keputihan pada bayi dan anak yang disebabkan oleh kulat Candida albican sangat jarang berlaku. Ini disebabkan oleh tingginya pH kemaluan bayi dan anak, sehingga kulat tersebut tidak dapat tumbuh dengan subur. Namun jika ianya berlaku gejala keputihan yang ditirnbulkannya sama sahaja dengan yang dialami oleh wanita dewasa.

Jika terdapat gejala-gejala seperti diatas , maka sebaiknya bayi atau anak permepuan tadi segera dibawa keklinik untuk pemeriksaan supaya diagnosis dan rawatan yang sesuai diberikan.

Mencegah adalah lebih baik dari merawat

Dalam apa jua keadaan seperti yang saya sebutkan diawal artikel ini ialah lebih baik mencegah daripada merawat.Berikut adalah beberapa tips pencegahan yang boleh dilakukan sendiri oleh Ibubapa yang tentunya tidak mahu bayi atau anak perempuan mereka menderita dalam senyap.
  • Luaskan posisi lutut bayi dan anak ketika buang air kecil. Ini perlu dilakukan agar air kencing tidak bertakung di sekitar kemaluan.
  • Keringkan kemaluan bayi dan anak sesudah membuang air kecil.
  • Membilas/mencuci kemaluan bayi dan anak dengan betul ,iaitu dari depan ke belakang.
  • Jangan biarkan bayi dan anak mandi terlalu lama, apalagi berendam agar kemaluan mereka tidak terlalu lembap.
  • Hindari menabur bedak dikawasan kemaluan.
  • Hindari penggunaan sabun/shampu/pewangi secara langsung pada kemaluan bayi dan anak.
  • Pilihlah pakaian dalam yang longgar dan dibuat dari bahan yang mudah menyerap peluh, agar kemaluan bayi dan anak sentiasa kering dan tidak lembap.
  • Biasakan mengganti pakaian dalam anak sekitar 2-3 kali sehari agar kemaluannya sentiasa kering.
  • Segera membuat pemeriksaan diklinik jika anak mengeluh merasa sakit ketika membuang air kecil atau kerap menahan dari membuang air kecil.
  • Awasi lah jika anak mula menggaru kemaluannya

Semoga Bermanfaat



 

Isnin, 1 Oktober 2012

Mitos Dan Bahaya Keputihan Ketika Hamil

gif
Bismillah,

Keputihan adalah masalah yang kerap dialami oleh wanita, lebih-lebih bagi wanita yang sedang hamil dimana secara alaminya akan berlaku perubahan hormon semasa kehamilan yang akan memicu kepada peningkatan pengeluaran cairan vagina serta penurunan pH. Ketidakstabilan ini juga adalah antara punca utama yang yang memungkinkan tercetusnya masalah keputihan dikalangan wanita yang hamil.

Keputihan ketika seseorang wanita itu sedang hamil boleh dikategorikan sebagai normal jika cairan yang keluar berwarna jernih atau sedikit kekuningan dan kental seperti lendir dengan tidak disertai bau dan kegatalan. Namun jika cairan yang keluar disertai bau, gatal, rasa nyeri ketika membuang air kecil dan warnanya pula telah bertukar kehijauan atau bercampur sedikit darah maka keputihan tersebut boleh dikatakan sebagai abnormal dan risiko ianya mengganggu atau membawa kemudaratan kepada kesihatan ibu dan janin tidak terkawal.Maka rawatan yang sesuai semasa kehamilan amat diperlukan segera bagi mengelakkan perkara –perkara yang tidak diingini.

Mitos dan fakta keputihan ketika hamil


1. Mitos : Makanan seperti timun atau nenas seringkali dituduh sebagai penyebab keputihan

Fakta: Keputihan bukan disebabkan oleh makanan tertentu dan tentu sekali bukan nenas yang ternyata kaya dengan vitamin C.Realitinya tiada makanan tertentu yang menjadi punca kepada berlakunya keputihan semasa atau sesudah hamil.

2. Mitos : Pengunaan intimate wash atau antiseptik yang disangkakan dapat mencegah keputihan.

Fakta: Penggunaan antiseptik sebagai pembersih vagina hanya akan menyebabkan ‘gangguan’ kepada flora normal yang ada dalam vagina (lactobacillus ). Walhal , flora normal ini amat diperlukan tubuh untuk mengawal vagina pada pH yg seimbang supaya flora (kuman) abnormal tidak dapat membiak di kawasan tersebut seterusnya menghindari dari bahaya jangkitan keputihan ketika hamil

Bahaya keputihan ketika hamil
Kulat dan bakteria merupakan antara mikro organisma yang paling dominan dalam masalah keputihan abnormal ketika hamil.Kandidiasis atau jangkitan kulat kandida adalah penyebab keputihan terbanyak yang dialami wanita hamil, diikuti oleh jangkitan bakterial vaginosis,trikomoniasis dan gonorrhoea.Kajian terkini mendapati kulat kandida boleh meresap masuk kedalam saluran darah dan mengakibatkan kes maut.

Keputihan abnormal yang dialami wanita hamil boleh membahayakan kehamilan ibu dan keselamatan janin jika tidak diberikan perhatian khusus dalam kesegeraan merawatnya. Berikut adalah antara beberapa bahaya dan kemudaratan yang boleh berlaku jika seseorang wanita mengalami keputihan yang abnormal sewaktu hamil :

1. Chlamydia


Jangkitan yang dibawa oleh kuman chlamydia dapat menyebabkan berlakunya kelahiran pra matang pada bayi akibat pecahnya selaput ketuban sebelum tiba waktunya. Selain itu juga boleh mengakibatkan keguguran malahan kematian ibu dan janin jika tidak segera ditangani dengan cepat.

2. Kuman Herpes Simpleks

Jangkitan yang disebabkan oleh kuman Herpes Simpleks dapat menyebabkan radang pada otak bayi (ensefalitis).

3. Candida Albican

Jangkitan yang disebabkan oleh kulat Candida dapat meningkatkan risiko berlakunya (epilepsi) pada bayi.

4. Kuman HPV

Jangkitan yang disebabkan oleh kuman HPV boleh menyebabkan gangguan penafasan dan gangguan pencernaan bayi sehingga boleh mengakibatkan maut.

5. Neisserea Gonorrhoea

Akhir sekali,jangkitan yang disebabkan oleh Neisserea Gonorrhoeae boleh menyebabkan jangkitan pada mata bayi sehingga boleh mengakibatkan buta.

Beberapa Tips Yang Boleh Di Amalkan 
  1. Elakkan dari pengunaan sabun, gel,shampu dan seumpamanya.Hanya gunakan air suam bersih bagi mencuci bahagian luar faraj, atau gunakan pembersih peribadii khas anti gatal yang ada pH3.8-4.2
  2. Elakkan menyembur dengan air kedalam faraj ianya boleh menganggu keseimbangan flora bakteria didalam faraj dan boleh menyebabkan jangkitan
  3. Selalu keringkan dahulu faraj sebelum memakai seluar dalam dan jangan sesekali memakai seluar dalam yang lembab untuk jangka waktu yang lama
  4. Hindari dari memakai bedak di kawasan kemaluan disebabkan partikel-partikel halus yang mudah terselit dicelah kulit boleh mengundang bakteria bersarang
  5. Pastikan mencuci dubur dari depan tolak kebelakang bagi mengelak bakteria seperti e coli atau cacing kerawit masuk ke dalam lubang faraj atau kencing
  6. Jika guna alas seluar dalam,sila pastikan (panty liner jenis unscented) untuk mengurangkan lendiran dan radang pada kemaluan. Elakkan wangian dan pencuci antiseptik kerana ini akan hanya memudaratkan.
  7. Cuba sedaya upaya untuk mengamalkan diet bersumberkan bakteria baik seperti yogurt, yakult, sayuran hijau,sayur bendi sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi menguatkan pertahanan tubuh dari diserang mikroorganisma patogen lain..
Terdapat banyak tulisan di-dalam artikel dan nasihat yang selalu diberikan oleh pakar kepada wanita-wanita yang hamil supaya tidak memandang ringan tentang masalah keputihan. Realitinya,nasihat mereka amatlah bertepatan sekali jika diamati risiko-risiko yang perlu ditanggung seandainya wanita hamil gagal bertindak dengan bijaksana dalam situasi ini.Persoalannya kalau sudah tahu,kenapa pula nak ambil risiko?

Semoga Bermanfaat


FEMININE WASH PILIHAN KAMI



Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.

Isnin, 3 September 2012

Remaja Dan Masalah Haid

gif
Bismillah,
 

Ramai juga remaja yang bertanya soalan-soalan tentang haid yang tidak teratur seperti “mengapa saya mengalami pendarahan haid hanya sekali dalam masa dua bulan?” atau “Mengapa pendarahan haid saya hanya dua kali dalam sebulan?” atau “Mengapa pada bulan ini hanya dua hari pendarahan haid sedangkan bulan lepas selama sepuluh hari?”

Persoalan-persoalan ini juga bermain di fikiran ramai para remaja perempuan dan jika tidak mendapat jawapan yang meyakinkan tentunya akan menjadi suatu tanda tanya bagi mereka dan mungkin juga ada yang bakal mengalami kemurungan kerana menyangkakan mereka tidak normal.

Atas kesedaran ini dan khas untuk semua remaja diluar sana,maka saya tuliskan jawapan sebagai pencerahan kepada soalan-soalan yang sedang bermain-main dibenak fikiran anda memandangkan ramai remaja perempuan yang malu bertanya dan ditakuti pula akan mendapatkan informasi yang salah dari kawan-kawan mereka.

Sebenarnya adalah suatu yang normal bagi remaja perempuan yang mengalami kitaran haid yang tidak teratur. Kitaran haid selama 28 hari hanya purata bagi kebanyakan wanita saja. Ianya bukanlah suatu kemestian dan tidak bermakna kitaran haid yang tidak teratur menandakan penyakit.

Setiap kitaran haid individu adalah berlainan. Kitaran haid yang masih dikatakan normal adalah antara 21 (paling pendek) hingga 35-40 hari (paling panjang). Kitaran yang tidak tetap ini berlaku dalam masa 2-3 tahun selepas bermulanya pendarahan haid dan ianya akan mula menjadi teratur selepas itu.

Lazimnya pendarahan haid akan berlangsung antara 3 hari hingga 7 hari dan amat jarang sekali yang mengalami pendarahan haid selama 14 hari.Seandainya pendarahan itu tidak terlalu banyak, ianya masih dikira normal namun amat sukar untuk mengagak kuantiti darah yang keluar secara normal.Secara anggaran ianya sebanyak ¼ cawan bersamaan dengan 10-15 pad yang basah dalam setiap kitaran haid.

Walaubagaimanapun ini bergantung kepada individu.Ada yang selesa menukarkan pad walaupun terdapat pendarahan yang sedikit. Ada pula yang tidak sempat menukarkannya akibat jadual sekolah yang padat. Jadi bilangan pad juga terlalu subjektif.Pendarahan yang banyak berlaku pada hari kedua dan ketiga,mungkin akan menggunakan 6 atau 8 pad pada hari itu. Kemudian ianya akan berkurangan.

Maka.dari itu hilangkan lah kerisauan jika mendapati kitaran haid, atau hari pendarahan atau banyaknya darah yang keluar itu berbeza dari kitaran haid sebelumnya.Harus difahami bahawa panjang atau pendek kitaran haid bagi remaja perempuan biasanya dipengaruhi hormon wanita yang mana ianya juga mempengaruhi tumbesaran.Lazimnya ia disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang sementara dan hormon ini juga dikawal oleh kelenjar pituitary di otak.Terdapat terlalu banyak faktor yang boleh mengganggu kitaran haid ini.

Banyak kajian mendapati emosi yang tertekan akibat persekitaran menjadi punca utama.Antaranya contoh seperti berpindah ke rumah baru atau sekolah baru, keluarga yang bercerai dan tekanan rakan-rakan.Amat jarang pula disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius seperti thyroid atau masalah endocrine yang lain.

Antara sebab lain juga ialah pengambilan ubatan termasuk herba, perubahan berat badan yang mendadak, bersenam keterlaluan, kurang zat makanan, diet yang mempunyai banyak karbohidrat, penyalahgunaan dadah, dan masalah kurang selera makan.

Haid yang tidak normal

Jika remaja perempuan tidak mengalami kedatangan pendarahan haid melebihi 3 bulan, dikhuatiri mempunyai masalah perubatan dan perlulah bertanyakan doktor.Keadaan ini dinamakan amenorrhoea. Dibimbangi ianya adalah tanda awal kegagalan fungsi ovari yang mana akan menjadi masalah kesuburan yng serius apabila meningkat dewasa kelak.

Cara mengatasi senggugut


Sekurang-kurangnya 50 % dari remaja perempuan mengalami senggugut atau dinamakan sebagai “dysmenorrhea”. Ada diantara mereka yang terpaksa ponteng sekolah akibat senggugut yang serius.

Jika mengalami keadaan ini,cara yang paling mudah untuk mengatasinya adalah dengan pengambilan panadol yang ada dijual di farmasi atau jika terlalu kuat boleh juga dapatkan Ponstan 250mg dan diambil sebanyak tiga kali sehari.

Semoga pencerahan ini sedikit sebanyak bermanfaat membantu remaja diluar sana ye....






Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.

Rabu, 1 Ogos 2012

Merawat Kecantikan Kulit Semasa Kitaran Haid

gif
Bismillah,
Apabila seorang wanita mengalami haid maka bukan hanya ia berhadapan dengan rasa sakit akibat Pre Menstruation Syndrom (PMS) tetapi juga masalah kulit berjerawat,kering ,kusam dsb. Untuk merawat kecantikan kulit,wanita perlu memahami kitaran haid dan hormon yang mempengaruhi serta cara penjagaan yang sesuai.

Setiap wanita memiliki penampilan yang berbeza sepanjang bulan. Wanita dianugerahi paras hormon estrogen yang tinggi yang membuat kulit kelihatan lebih cantik sewaktu dalam masa subur.Hormon dalam tubuh seseorang wanita akan mempengaruhi kecantikan kulit dan reaksi hormon juga terhadap kulit secara langsung berkait rapat dengan usia.

Ramai pakar berpendapat bahawa majoriti wanita mencapai puncak kesuburan dengan paras kolagen yang tertinggi pada usia 27 tahun.Adapun memahami kaitan antara kadar estrogen dan kulit, dapat membantu wanita menangani masalah dan melakukan rawatan yang tepat untuk penjagaan kulit supaya selalu kelihatan cantik.

Pada hari pertama haid
Hormon berada pada titik yang terendah dan kulit akan kelihatan pucat dan kusam disebabkan juga adanya  prostaglandin yang menyebabkan peradangan sehingga kulit akan lebih berminyak dan berjerawat.Prostaglandin adalah lipid yang dilepaskan sel tubuh, dan menyebabkan peradangan atau bengkak, serta munculnya jerawat pada hari pertama haid dan  ini juga membuatkan kulit kelihatan kusam.Untuk membantu menenangkan kulit, wanita boleh mengunakan pelembab yang mengandungi anti-inflamasi seperti teh hijau ,chamomile dsb.

Seminggu sebelum ovulasi
Ketika memasuki masa subur kulit wanita akan kelihatan cantik ketika paras hormon estrogen berada di puncak. Wanita akan merasa kagum dan takjub melihat kemulusan kulit  ketika itu. Paras kolagen meningkat sehinggakan kulit berada dalam keadaan yang paling baik Biasanya ini berlaku sebelum ovulasi ketika masa subur.Waktu ini adalah masa yang terbaik juga untuk menampikan kecantikan kulit alami tanpa kosmetik.

Setelah ovulasi
Kadar hormon estrogen akan mengalami penurunan dan mula mempengaruhi kualiti kulit seseorang wanita.Pada ketika ini lah wanita harus melakukan rutin penjagaan dan rawatan kulit agar tetap kelihatan cantik.Wanita juga boleh mengunakan pembersih wajah yang ringan tanpa pewangi yang boleh mengakibatkan iritasi.

Menjelang Haid
Wanita akan berada dalam keadaan yang paling mencabar ketika menjelang haid. Fasa ini juga disebut sebagai 'reset phase' disebabkan apabila tubuh telah menyedari tidak akan berlaku kehamilan maka lazimnya ia akan membuat persiapan bagi ovulasi selanjutnya.

Pada fasa ini, paras estrogen akan menurun dan androgen (seperti testosteron) akan memicu kulit menghasilkan lebih banyak minyak dan kulit akan cenderung bermasalah.Wanita boleh mengunakan produk yang mengandungi Salicylic  acid atau glycolic untuk membantu mengimbangi lebihan minyak dalam fasa ini

Semoga Bermanfaat

 
Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
 

Selasa, 17 Julai 2012

Dilema Keputihan dikalangan gadis remaja

gif
Bismillah,

Rata-rata jika diambilkira latarbelakang seseorang gadis remaja yang datang dari keluarga melayu Islam, maka tidak hairanlah remaja tersebut kurang mendapat pendedahan dari aspek penjagaan organ kewanitaannya disebabkan oleh perasaan malu hendak bertanya, terlalu berahsia dan di dalam kebanyakan keluarga melayu Islam juga didapati ianya menjadi satu perkara yang tabu dan kurang sopan jika dibicarakan secara terbuka.Akibatnya, ramai gadis remaja berada didalam dilema kerana tidak mendapat informasi yang tepat dan sering keliru tentang aspek kesihatan organ kewanitaanya yang akhirnya menjadikan mereka kurang perihatin tentang masalah jangkitan keputihan serta penjagaanya.

Keputihan yang sering dialami gadis remaja merupakan perkara yang biasa berlaku pada usia muda. Namun,ungkapan biasa itu jika disalah erti akan membawa kesan yang negatif apabila jangkitan biasa menjadi pemangkin kepada jangkitan yang luarbiasa pula.Anggapan keputihan adalah sejenis penyakit yang normal dan tidak memerlukan rawatan khusus untuk menangganinya adalah sesuatu yang tidak benar.
Apabila remaja mula berfikiran sedemikian dan mula mengambil sambil lewa tentang gejalanya, hanya akan membawa padah kesan berpanjangan sehingga mereka meningkat dewasa kelak.Realitinya sehingga kini masih terdapat ramai dikalangan remaja yang sedang bergelut dengan masalah keputihan ini walaupun telah meningkat dewasa dan bakal memasuki alam perkahwinan.
Saya memohon pada semua remaja supaya belajar mengenali gejala keputihan ini, supaya dapat mengesan awal dan memudahkan untuk mencari rawatan yang sesuai.Jangan di biarkan gejala keputihan tanpa rawatan disebabkan ianya boleh mengakibatkan komplikasi yang tidak di ingini berpunca dari kelewatan merawat sehinggakan mikroorganisma keputihan telah mula menular ke organ-organ berdekatan.

Apakah itu keputihan?

Di kalangan pakar perubatan, keputihan dikenali dengan istilah Leucorrhoea atau Fluor Albus. keputihan sebenarnya adalah cairan yang keluar dari vagina. Dalam bahasa mudah terdapat dua jenis keputihan iaitu normal dan abnormal (jangkitan mikroorganisma) dan remaja hanya perlu prihatin dengan jenis keputihan kedua ini.

Keputihan yang normal

Dalam keadaan normal, lendiran yang keluar adalah bening, tidak berwarna, tidak berbau dan tidak gatal. Keputihan normal ini juga boleh dijadikan ukuran paras kesuburan.Sekiranya lendiran putih bening ini yang beranggaran 20cm,ianya menandakan waktu yang sangat subur bagi seseorang wanita. Lendiran ini juga dikenali dengan nama ovulasi.

Keputihan yang abnormal


Merupakan lendiran yang keluar seperti susu basi, likat dan liat berwarna kekuningan atau kadang-kadang seperti gumpalan keju yang boleh menimbulkan rasa gatal. Sekiranya agak parah, cairan ini boleh berwarna keabuan sehingga kehijauan dan berbau hanyir serta busuk.

Punca keputihan abnormal


Ada beberapa sebab berlakunya keputihan abnormal.

Antaranya ialah:

1. Ketika terlalu letih.

2. Berada dalam situasi yang sangat tertekan.

3. Jangkitan.

Bagaimana Mengenali jenis-jenis jangkitan


Sekiranya remaja merasakan telah berlaku keputihan yang abnormal pada diri maka mengenali gejala dan melakukan rawatan yang sewajarnya supaya penularan dapat dibendung dari awal lagi.

Jom cuba kia kenali gejala jangkitan mikroorganisma :


1. Kulat Candida atau Monilia


Warna putih susu, likat, berbau yang agak kuat dan vagina menjadi gatal.

2. Parasit Trichomonas Vaginalis

Cairan keputihan akibat parasit kental, berbuih, berwarna kuning atau kehijauan dengan bau hanyir.

3. Bakteria Gardnella

Boleh membuatkan vagina rasa gatal dan sangat terganggu. Warna cairannya adalah keabuan, berair, berbuih dan berbau hanyir.

4. Virus

Keputihan akibat infeksi virus juga sering ditimbulkan akibat penyakit kelamin seperti Condyloma, herpes, HIV / AIDS.

5. Benda asin
g

Perkara yang satu ini sering diabaikan, namun sebenarnya ia sangat penting. Benda-benda yang tidak sengaja masuk ke dalam vagina seperti rambut ataupun benang dari seluar dalam.

Beberapa tips yang baik jika boleh diamalkan : 


  1. Hindari pengunaan sabun, gel dan sebagainya. Hanya gunakan air suam bersih bagi mencuci bahagian luar faraj, atau gunakan pencuci khas yang mempunyai pH3.8-4.2
  2. Elakkan menyembur dengan air kedalam faraj ianya boleh menganggu keseimbangan flora bakteria didalam faraj dan boleh menyebabkan jangkitan
  3. Selalu keringkan dahulu faraj sebelum memakai seluar dalam dan jangan sesekali memakai seluar dalam yang lembab untuk jangka waktu yang lama
  4. Hindari dari memakai bedak di kawasan kemaluan disebabkan partikel-partikel halus yang mudah terselit dicelah kulit boleh mengundang bakteria bersarang
  5. Pastikan kerap menukar pad sewaktu haid dan elakkan pengunaan yang terlalu lama
  6. Gunakan alas seluar dalam (panty liner) jenis "unscented" dan ada pengalran udara untuk mengurangkan lendiran dan radang pada kemaluan. Elakkan wangian dan pencuci antiseptik kerana perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan.
  7. Cuba sedaya upaya untuk mengamalkan diet bersumberkan bakteria baik seperti yogurt, yakult, sayuran hijau, bendi sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi menguatkan pertahanan tubuh dari diserang mikroorganisma lain.
Sekali lagi saya nasihatkan agar para remaja mengambil sikap yang lebih serius terhadap gejala keputihan. Beberapa kajian mendapati keputihan jika dibiarkan terlalu lama walaupun hanya gejala biasa, lama kelamaan berupaya menyerang selaput dara.Sebahagian besar lendiran keputihan yang mengandungi jangkitan mikroorganisma telah merosakkan selaput dara sehinggakan apabila berumahtangga kelak dan sewaktu melakukan hubungan kelamin di "malam pertama" berkemungkinan tidak akan mengeluarkan walaupun setitik punt darah.

Semoga Bermanfaat 



FEMININE WASH PILIHAN KAMI



Isnin, 9 Julai 2012

Pengaruh hormon dalam kitaran haid dan kehamilan

gif
Bismillah,

Setelah kita mengenali kitaran haid dari artikel yang lalu,mari kita sama-sama pula menjelajah lebih jauh lagi dalam memahami fungsi dan pengaruh hormon wanita disebalik kitaran haid dan kehamilan.

Ramai yang menyangka bahawa haid yang jarang berlaku adalah disebabkan oleh saluran fallopia yang tersumbat namun sebenarnya masalah ini lebih dikaitkan dengan masalah hormon, bukan struktur laluan haid.Realitinya ialah kitaran haid yang tidak teratur berpunca daripada gangguan proses kematangan dan pengeluaran telur yang secara tidak langsung menjadikan seseorang wanita itu mengalami masalah kesuburan.Fakta apabila tidak berlaku ovulasi untuk satu pusingan haid maka ini bermakna tiada peluang untuk seseorang wanita itu hamil pada pusingan tersebut.

Estrogen meregulasi Progresteron


Sewaktu proses haid, penghasilan hormon ternyata sangat penting. Hormon ini adalah hormon utama yang menentukan pembentukan seks atau jantina seorang individu ianya dinamakan hormon estrogen. Estrogen merupakan satu-satunya hormon yang paling penting dan utama. Sekiranya paras estrogen tinggi di dalam badan seorang manusia maka ciri-ciri wanita akan lebih menonjol. Estrogen menzahirkan sifat-sifat kewanitaan terserlah serta berfungsi untuk membentuk tubuh badan wanita,pembentukan payu dara dan kitaran haid pada setiap bulan. Estrogen berjalan di dalam darah ke tisu-tisu badan di mana terletaknya reseptor-reseptor estrogen. Reseptor wujud di seluruh badan, di otak faraj, buah pinggang dan lain-lain. Molekul estrogen akan melekat pada reseptor dan menghasilkan tindakbalas pada organ-organ tersebut.

Estrogen adalah kunci di dalam kesuburan seorang wanita. Sewaktu hamil ianya menjadi hormon utama untuk membina tisu-tisu di dinding endometrium sewaktu fasa proileratif (Sebelum telur menetas). Untuk tujuan ini ia meregulasikan pengeluaran hormon progresteron. Progesteron bertindakbalas dengan kadar pengeluaran estrogen yang sihat. Isyarat yang baik akan merangsang progesteron untuk keluar dan jika progesteron gagal dirangsang maka dinding rahim gagal membentuk tisu-tisu dan limfa-limfa serta pembuluh darah yang tebal dan subur sesuai untuk kehamilan.

Kadar Estrogen normal


Kadar normal estrogen bergantung kepada usia. Wanita berusia antara 20 hingga 29 tahun lazimnya memiliki kadar estrogen yang rata-rata berukuran 149 pg/ml (piktogram per mililiter).Manakala seorang wanita berusia 30 hingga 39 tahun rata-rata memiliki kadar 210 pg/ml.Bagi wanita yang berusia lebih dari 40 tahun dan masih belum mengalami menopause akan memiliki tingkatan estrogen rata-rata sekitar 152 pg/ml.Rata-rata kadar tingkatan estrogen seseorang wanita itu bervariasi dari hari ke hari bergantung kepada kitaran haid .

Kadar Estrogen Rendah

 

Kadar estrogen dianggap rendah apabila hanya berada pada paras 10 hingga 20 pg/ml.Ini berlaku mungkin disebabkan oleh menopause, anoreksia dan sindrom Turner. Melakukan sukan atau latihan ketahanan yang ekstrim juga dapat mengurangi kadar estrogen.Antara beberapa gejala kadar estrogen yang rendah termasuk mengalami lelah, hot flashes, berpeluh di malam hari, kekeringan pada faraj dan hilang tumpuan atau konsentrasi.Ianya juga membuatkan seseorang wanita itu merasa tidak bertenaga dan cepat lelah.

Kadar Estrogen Tinggi


Sementara estrogen yang diparas 200 pg/ml keatas boleh dianggap tinggi. Pada lazimnya kadar estrogen akan meningkat disebabkan obesiti, penyakit jantung atau masalah pencernaan.Stres juga adalah antara punca yang turut menyumbang kepada peningkatan estrogen yang tinggi.Antara gejala estrogen tinggi meliputi rasa cemas, tekanan jiwa dan juga insomnia.Adalah amat penting bagi mengawal paras estrogen yang seimbang bagi mengelakkan risiko barah payudara dan barah serviks yang amat digeruni oleh setiap wanita.Ujian darah,air kencing atau air liur dapat mengesan paras estrogen bagi tujuan rawatan susulan bagi kes-kes ketidak seimbangan estrogen.

Salah tanggapan tentang masalah Haid


Haid yang tidak teratur bukan penyebab bertambahnya berat badan seperti anggapan sesetengah wanita. Anggapan seperti haid tersumbat boleh menyebabkan pengumpulan kotoran dalam badan dan berat badan bertambah adalah satu tanggapan yang tiada asasnya. Sebaliknya, berat badan yang berlebihan atau terlalu kurus sebenarnya yang menjadi punca kitaran haid tidak teratur. Masalah obesiti juga dikaitkan dengan penyakit Sindrom Polisistik Ovari (PCOS).

Wanita dengan PCOS biasanya mengalami berat badan yang berlebihan, haid tidak teratur, menandakan paras hormon androgen yang berlebihan (kulit berminyak dan berjerawat, rambut berlebihan pada kawasan misai dan janggut), serta masalah kesuburan.Mereka juga menghadapi risiko mendapat penyakit kencing manis dan penebalan lapisan endometrium secara berterusan.
Semoga Bermanfaat

Isnin, 25 Jun 2012

PID - Antara Punca Kemandulan Wanita

gif
Penyakit radang pelvis atau Pelvic inflammatory disease (PID) adalah satu istilah am untuk keadaan yang merangkumi infeksi dan radang alat kelamin wanita. Ini termasuk radang rahim, tiub fallopian dan kilang ovari. Kawasan persekitaran alat kelamin juga mudah dijangkiti penyakit ini. Adapun majoriti kes jangkitan disebabkan PID adalah melalui hubungan seksual.

Berlakunya radang pelvis apabila terdapat jangkitan bakteria pada faraj yang telah memasuki pangkal rahim seterusnya merebak ke organ peranakan wanita. Walaupun terdapat berbagai organisma dan bakteria yang boleh mengakibatkan radang pelvis namun tetapi yang kekal menjadi penyumbang utama adalah penyakit kelamin Gonorrhea dan Chlamydia.Penyakit ini boleh mengakibatkan radangan kepada saluran Fallopian dan seterusnya menyebabkan selaput tiub membengkak serta menyempitkan saluran tersebut. Ini mangakibatkan embrio yang dihasilkan dari pesenyawaan akan tersumbat di tiub lalu memungkinkan kandungan di luar rahim(Ektopik) dan kemandulan.

Jika rawatan tidak diberi, saluran tiub akan membengkak lalu menghasilkan nanah. Nanah ini pula akan mengotori kawasan sekitar tiub dan ovari menyebabkan permukaan luar tiub melekat dengan organ-organ sekitarnya (seperti pundi air kencing dan usus).

Antara Tanda dan Gejala

Antara gejala awal adalah gatal, iritasi serta keluarnya  lendiran yang berlebihan dari faraj dan salur air kencing. Ia berlaku diantara 7 hingga 21 hari (untuk infeksi chlamydia), dan 2 hingga 5 hari (untuk gonorrhea). Dalam keadaan biasa wanita akan mendapati lendiran dari faraj yang tiada kaitan dengan penyakit kelamin namun  tetapi jika lendiran didapati berbau busuk dan gatal, mentelah lagi setelah baru beberapa hari melakukan seks, kemungkinan risiko PID tidak boleh ditolak apabila gejala awal ini diikuti pula oleh  kesakitan pada abdomen (perut) yang berterusan, demam sekali sekala selain merasa kurang selesa atau juga sakit semasa melakukan hubungan seksual.Jika jangkitan membabitkan lapisan rahim (endometrium) besar kemungkinan akan berlaku pendarahan vagina di antara dua kitaran haid. 

Antara Faktor Penyebab

Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 60% kes PID adalah berpunca dari penyakit kelamin (STD). Bakteria chlamydia trachomatis terlibat hampir 50% dalam kes-kes PID sementara infeksi Gonococcal (disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhea) pula adalah yang paling kerap dikesan di Malaysia. Terdapat juga beberapa anggaran kasar merekodkan diantaranya 10% wanita telah dijangkiti oleh kedua-dua bakteria.

Sementara itu di negara – negara barat pula chlamydia trachomatis adalah antara  jangkitan kuman yang paling kerap berlaku dimana terdapat lebih 80% wanita barat yang dijangkiti tidak menyedari akan keadaan mereka yang telah dijangkiti apabila adakala  ianya tidak menunjukkan gejala  dan perkara ini telah menjadikan mereka sebagai agen tularan melalui aktiviti seks tanpa mereka sedari.

Antara Langkah Pencegahan

Wanita boleh melindungi diri mereka daripada PID dengan mengambil tindakan untuk mengelakkan jangkitan STD (penyakit kelamin) atau dengan mendapatkan rawatan awal jika mereka dijangkiti STD.

Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan STD adalah untuk menahan diri dari melakukan hubungan seks, atau berada dalam hubungan jangka panjang yang mana pasangan adalah saling monogami. Penggunaan kondom  secara konsisten dan betul juga didapati berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan chlamydia dan gonorrhoea seterusnya mengurangkan risiko Radang Pelvis (PID).

Khamis, 7 Jun 2012

Mengenali Haid Anda

gif
Bismillah,
Haid yang dialami oleh setiap individu berbeza dari seorang wanita ke seorang wanita yang lain. Pada kebiasaannya pada hari pertama haid tidak keluar begitu banyak, haid bertambah pada hari kedua dan ketiga. Pada hari keempat ia mula berkurangan dan pada hari kelima ia hampir kering, pada hari keenam dan ketujuh darah kering langsung dan meninggalkan mungkin kesan spotting seperti bintik-bintik coklat pada seluar dalam atau pada panty-liners. Ia nampak seperti seurat lendir yang berwarna kehitaman ke coklat kemerahan.

Lendir ini akan keluar bercampur sedikit dengan darah berwarna coklat dan ia mungkin berlarutan selama beberapa hari. Haid dianggap berhenti jika tidak ada lagi kesan darah merah yang keluar dari rahim. Purata darah yang keluar dalam jangka masa haid ialah dua hingga tiga auns (100mls). Ini sama seperti penggunaan satu hingga dua kotak tuala wanita.

Sesetengah wanita mengalami pengeluaran lendir bercampur sedikit tompok-tompok darah yang kecil untuk beberapa hari sebelum keluar haid (Premenstrual staining) manakala ada setengah pula yang mengalami darah haid ‘berekor-ekor’ (Post-menstrual staining). Kedua-dua keadaan ini dipanggil spotting dalam bahasa inggeris.

Kedua-dua keadaan tersebut mungkin menandakan bahawa samada wujudnya sejenis gangguan hormon yang tidak seimbang atau mungkin juga terdapat penyakit pada rahim. Jika seorang wanita mengalami spotting lebih panjang dari waktu haidnya yang tetap, darah itu dianggap sebagai darah istihadah dan dia boleh mengambil ghusul untuk menyucikan diri supaya dia boleh beribadah. Dia juga perlu berjumpa doktor untuk mendapat diagnosis untuk keadaannya itu.

Abnormal semasa haid

Tidak semua wanita yang akan mengalami kedatangan haid tanpa masalah. Adalah dianggarkan seramai 10 peratus wanita mempunyai masalah sakit puan yang kronik. Sesetengah wanita mempunyai masalah seperti berikut:

    1. Dismenorea

Merupakan satu keadaan di mana wanita mengalami kesakitan dan kekejangan yang teruk semasa haid. Dianggarkan sebanyak 50% wanita mengalami masalah ini dengan gejala kekejangan yang berlaku pada awal kedatangan haid dan hilang selepas satu hingga dua hari tanpa menjejaskan aktiviti harian. Sebanyak 10% wanita dikatakan mengalami sakit kekejangan yang teruk pada bahagian bawah abdomen dan kerap kali disertai gejala sistematik seperti mual, muntah, cirit-birit, sakit kepala dan kepeningan. Ia juga kerap berlaku di awal tempoh haid. Masalah dismenorea boleh dikelaskan kepada primer atau skunder. Dismenorea primer berlaku kerana pengecutan otot rahim dan akan disebabkan oleh masalah penyakit tertentu. Sebaliknya, dismenorea sekunder berlaku disebabkan masalah tertentu seperti endometriosis, fibroids (ketumbuhan otot-otot pada bahagian rahim) atau penyakit inflamasi pelvik.


    2. Menoragia 

Merupakan pendarahah yang banyak semasa haid. Ini berlaku pada sembilan peratus hingga 14 peratus wanita dan boleh mengakibatkan beberapa masalah. Pembekuan darah biasa berlaku semasa pendarahan yang banyak tetapi ia tidak merbahaya. Wanita perlu berjumpa doktor jika pendarahan berlaku di antara tempoh haid atau semasa mengandung.

    3. Amenorea 

Merupakan masalah tidak datang haid (primer) atau kurang alami haid (sekunder). Sesetengah wanita tidak datang haid melebihi tempoh tiga bulan. Amenorea primer selalunya dikaitkan dengan kegagalan berlaku haid sebelum 18 tahun dan dikaitkan dengan disfungsi kromosomal, pituitari atau ovarian. Pesakit yang mengalami amenorea primer dan sekunder perlu dirujuk kepada doktor. Amenorea sekunder biasanya disebabkan oleh mengandung, penyusuan, menopaus dan pemberhentian pil kontraseptik. Sebab-sebab lain ialah gangguan bahagian hipotalamus (bahagian otak), kelenjara pituitari, kelenjar adrenal, ovari dan uterus.

    4. Pendarahan dan kesakitan semasa tempoh antara haid

Berlaku di pertengahan kitar haid dan boleh berlaku selama beberapa jam sehingga beberapa hari. Kesakitan ini boleh disertai dengan pendarahan. Terdapat hubungan di antara kesakitan interhaid, pendarahan dan ovulasi. Ramai wanita yang mengalami pendarahan dan kesakitan yang singkat di antara kitaran haid. Ketidakselesaan ini biasanya disebabkan oleh ovulasi. Jika masalah in berlanjutan dan menjadi teruk (melebihi dua hari), wanita tersebut perlu dirujuk kepada doktor.

    5. Sindrom prahaid 

 
Ramai wanita yang mengalami gejala berulang-ulang yang kompleks. Ini dikenali sebagai Sindrom Prahaid. Biasanya gejala ini membabitkan rasa mual selama dua atau tiga hari sebelum kedatangan haid atau di akhir-ahir tempoh haid. Ia disebabkan oleh naik turun paras hormon. Masa bermula gejala berbeza di kalangan wanita tetapi ia adalah konsisten bagi setiap wanita. Kebiasaannya, gejala ini disebabkan oleh gabungan keadaan fisiologi. Psikologi dan faktor budaya. Di antara gejala yang sering dialami ialah:
  • Psikologikal - emosi menjadi terlalu sensitif, meradang, lesu, tertekan, keresahan dan gangguan tidur.
  • Neurologik - sakit kepala (migrain), pening, pitam, sawan
  • Payu dara - ketegangan, bengkak
  • Saluran gastrousus - sembelit, kembung perut, kekejangan pada bahagian abdomen, ketagihan gula-gula
  • Kaki dan tangan - bengkak dan berair (edema)
  • Kurang kencing
  • Kulit berjerawat
Kenalpasti Sindrom dan Bertindak Cepat   

Wanita harus berwaspada terhadap gejala yang boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lebih serius dan memerlukan tindakan dan rawatan segera. Di antara masalah yang memerlukan pemerhatian doktor pakar dengan segera ialah pendarahan yang teruk, tidak datang haid, discaj yang tidak normal daripada bahagian vagina, kesakitan yang amat  sangat sebelum dan semasa haid, kesakitan ketika melakukan hubungan seksual, ketumbuhan pada bahagian payu dara atau dicaj yang tidak normal daripada bahagian puting payu dara. 

Semoga Bermanfaat

 
Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
 

Isnin, 14 Mei 2012

Punca Isteri Tak Mampu Berhubungan Intim

gif
Berbanding kaum lelaki, masalah seks kaum wanita jarang dipaparkan. Ramai yang lebih mengetahui tentang masalah mati pucuk dan ejakulasi pramatang yang dihadapi golongan lelaki berbanding dengan disfungsi seks wanita.

Antara masalah seks yang di hadapi oleh wanita adalah sakit untuk melakukan seks. Seks yang seharusnya memberi kenikmatan namun bertukar menjadi sebaliknya berpunca daripada beberapa sebab iaitu vaginimus dan dispareunia.Mungkin anda salah seorang isteri yang menghidap vaginimus tanpa disedari.

Apa sebenarnya penyakit Vaginismus?

Mungkin agak asing bunyinya namun ia adalah masalah seks wanita yang telah lama wujud. Vaginismus adalah satu keadaan dimana terjejasnya keupayaan seseorang wanita menerima penetrasi vagina termasuklah penetrasi seksual, kemasukan tampon dan juga penetrasi ke vagina untuk tujuan pemeriksaan ginekologi seperti pemeriksaan pap smear dsb.

Ia berlaku disebabkan kesan daripada tindak balas otot lantai pelvik seseorang wanita. Tindak balas ini menyebabkan otot bahagian tersebut mengalami kekejangan dan menghalang sebarang penetrasi termasuklah kemasukan alat kelamin suami. Pemaksaan untuk melakukan hubungan seks ketika itu akan menyebabkan kesakitan ataupun kadang kala langsung tidak boleh dilakukan.

Ramai wanita yang tidak pernah mendengar tentang masalah ini walaupun ia sebenarnya sudah lama wujud dikalangan wanita itu sendiri. Di negara barat 2% daripada wanitanya mengalami masalah vaginismus dan di kalangan negara Islam peratusan mungkin lebih tinggi memandangkan seks adalah sesuatu yang tabu dan jarang diperkatakan. Ramai wanita yang mengalami masalah ini biasanya akan hanya memendamkannya sendirian.

Vaginismus Awal

Masalah vaginismus ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Vaginismus awal dan vaginismus sekunder. Vaginismus awal berlaku apabila seseorang wanita itu tidak boleh melakukan sebarang penetrasi seks ataupun apa juga penetrasi ke dalam vagina. Ia selalunya dialami oleh wanita muda awal usia 20-an.

Mereka selalunya tidak mengetahui keadaan tersebut sehinggalah percubaan untuk penetrasi vagina dilakukan ketika hubungan seks. Keadaan ini selalunya akan diikuti dengan perasaan cemas dan juga takut. Beberapa penyebab vaginismus awal ini adalah pernah mengalami penderaan seksual pemikiran bahawa seks adalah sesuatu yang kotor ketakutan untuk melakukan hubungan seks.

Vaginismus Pertengahan

Ia berlaku pada wanita yang sebelum ini mampu melakukan penetrasi vagina namun pada satu keadaan mula mengalami vaginismus. Ia mungkin berlaku akibat sebab fizikal seperti jangkitan kulat, trauma melahirkan anak ataupun faktor psikologi.

Punca Psikologi Dan Fizikal

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah vaginismus. Ia mungkin disebabkan faktor fizikal mahupun psikologi dan rawatan yang diberikan perlulah bergantung pada penyebabnya.

Sekiranya vaginismus disebabkan oleh faktor psikologi maka seseorang wanita boleh mendapatkan khidmat pakar terapi. Ramai kalangan masyarakat termasuklah golongan profesional tidak menyedari masalah emosi akan turut berkait dengan masalah vaginismus seperti ketakutan, kurang keyakinan diri dan juga kemurungan. Wanita yang mengalami masalah ini harus mendapat khidmat profesional yang berpengalaman dengan masalah vaginismus.

Rawatan Fizikal
Rawatan fizikal yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah vaginismus adalah dengan mengajar seseorang wanita yang menghadapi masalah ini teknik untuk menenangkan otot dan seterusnya mengelakkannya dari kejang.

Tekniknya termasuklah mengembangkan vagina dengan cara memasukkan rod plastik kecil ke dalam vagina. Senaman kegel juga boleh dipraktikkan. Ia akan membantu menguatkan otot pelvik sekitar vagina, urethra dan rectum. Senaman ini akan membantu wanita tersebut mengawal otot yang berkontraksi secara paksa hingga menyebabkan kekejangan.

Hubungan Seks

Sekiranya seseorang wanita itu menghadapi masalah vaginismus, penetrasi seksual akan hanya menyebabkan kesakitan dan hubungan seks sukar dilakukan sehinggalah masalah mereka dirawat.

Bagaimanapun wanita mengalami vaginismus ini masih boleh melakukan aktiviti seksual lain yang tidak melibatkan penetrasi vagina seperti kucupan, belaian mahupun oral seks. Pasangan wanita yang mengalami vaginismus selalu beranggapan bahawa isteri mereka langsung tidak mahu melakukan seks, namun ini sebenarnya tidak benar. Ramai kalangan wanita dengan masalah ini mahu melakukan seks namun terhalang oleh rasa sakit dan juga tekanan emosi setiap kali percubaan seks dilakukan terutama sekali bila pasangan tidak melakukan proses pemanasan yang cukup.

Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑